Minggu 1
Bayi Anda
Lapan hari selepas persenyawaan,
blastosis akan merembeskan mukus untuk menyatakan kehadirannya di dalam rahim.
Minggu 2
Bayi Anda
Blastosis mula mengelembung dan
membahagi dua kali dalam tempoh sehari. Pada hari ke-12, jumlahnya akan menjadi
beribu-ribu. Setelah itu, blastosis ditanam dengan kukuh pada endometrium.
Minggu 3
Bayi Anda
Selepas tiga minggu persenyawaan,
saiz embrio ialah sepanjang 2 mm. Gen janin mula membentuk tiga lapisan sel
daripada organ badan yang akan bergabung.
Minggu 4
Bayi Anda
Bentuk asas seorang manusia mula
bergabung. Panjang embrio lebih kurang 6 mm. Pada minggu ini, akan kelihatanlah
bentuk awal otak dan tulang belakang fetus. Jantungnya mengepam darah ke
paru-paru dan aorta (urat besar yang mengalirkan darah daripada jantung).
Minggu 5
Bayi Anda
Walaupun anggota tubuh badan embrio
yang jelas kelihatan hanyalah matanya, namun otaknya kini dalam proses
perkembangan. Begitu juga dengan saluran darah yang tidak lama lagi akan
bertukar menjadi jantung. Saiz embrio sudah mencecah 4 mm.
Tubuh anda
Haid anda tidak datang. Minggu ini
merupakan minggu paling sesuai untuk anda menjalani ujian air kencing yang
boleh menentukan sama ada anda hamil ataupun sebaliknya.
Minggu 6
Bayi Anda
Jantungnya kini sudah terbentuk dan
mula berdenyut. Di akhir minggu ini, saluran yang menghubungkan embrio dengan
plasenta mula membesar menjadi tali pusat. Selain itu, saluran darah juga
terbentuk. Saiz embrio kini sebesar jari kelengkeng dan pergerakannya hanya
dapat dilihat melalui ujian imbasan.
Tubuh anda
Jika anda menderita morning
sickness, bau-bau tertentu akan membuatkan anda jadi lebih teruk lagi. Kulit
anda juga berubah menjadi lebih gelap sehingga menjadi bertompok-tompok dan
mengelupas.
Minggu 7
Bayi Anda
Fetus kini berukuran 1.3 sm. Lubang
hidung, bibir, lidah dan giginya dalam proses pembentukan. Manakala kaki dan
lengannya kian berkembang. Dalam pada itu, tulang belakang, usus dan otak
hampir terbentuk sepenuhnya.
Tubuh anda
Anda mungkin berasa pening ataupun
pengsan jika anda berdiri terlalu lama. Selain itu, jika anda berada dalam
keadaan sesak, anda juga mungkin berkeadaan sebegini. Anda juga turut mudah
berasa letih. Jadi pastikan anda mendapat rehat secukupnya.
Minggu 8
Bayi Anda
Fetus kini berukuran 1.3 sm. Lubang
hidung, bibir, lidah dan giginya dalam proses pembentukan. Manakala kaki dan
lengannya kian berkembang. Dalam pada itu, tulang belakang, usus dan otak
hampir terbentuk sepenuhnya.
Tubuh anda
Anda mungkin berasa pening ataupun
pengsan jika anda berdiri terlalu lama. Selain itu, jika anda berada dalam
keadaan sesak, anda juga mungkin berkeadaan sebegini. Anda juga turut mudah
berasa letih. Jadi pastikan anda mendapat rehat secukupnya.
Minggu 9
Bayi Anda
Bentuk muka fetus mula berkembang,
malah mulut dan hidungnya jelas kelihatan. Begitu juga dengan kaki dan
tangannya. Fetus kini berukuran kira-kira 3 sm.
Tubuh anda
Berat anda mula bertambah. Anda
digalakkan untuk merekodkan setiap pertambahan berat badan yang dialami. Ketika
ini, gusi anda menjadi lebih lembut dan nipis disebabkan oleh perubahan hormon.
Jadi, beri perhatian khusus kepada kebersihan gigi.
Minggu 10
Bayi Anda
Telinga luaran fetus mula jelas
kelihatan. Tubuhnya kini mula memanjang di mana ibu jari dan jari-jari yang
lain jelas terlihat tetapi bentuknya belum sempurna seperti jari normal
manusia. Pada tahap ini, saiz fetus ialah 4.5 sm dan beratnya pula 5 g.
Tubuh anda
Jumlah darah yang mengalir di dalam
tubuh kian meningkat. Ini akan membuatkan anda berasa lebih panas daripada
biasa. Saiz rahim anda kini sebesar buah oren. Perubahan fizikal memaksa anda
memakai pakaian yang lebih selesa sesuai dengan saiz baru anda.
Minggu 11
Bayi Anda
Di minggu ini, majoriti organ
kandungan anda sudah terbentuk. Jadi, sesetengah kesakitan yang dialami akan
berakhir pada penghujung minggu ini. Kini, fetus berada dalam zon selamat
daripada sebarang ketidaknormalan pada janin dan jangkitan tertentu. Berat fetus
pada minggu ini sepatutnya mencecah antara 10 gm dan panjangnya pula 5.5 sm.
Tubuh anda
Sebarang perubahan (kesakitan) yang
dialami akan membuatkan anda mudah berasa letih. Jadi, anda perlu mengambil
peluang merehatkan diri jika ada kesempatan. Selain itu, jika berasa khuatir
dengan perubahan-perubahan yang berlaku, segeralah bertemu dengan doktor agar
kemusykilan anda dapat dileraikan.
Minggu 12
Bayi Anda
Jantung fetus berdegup antara 110
hingga 160 kali seminit. Pada minggu ini dadanya turun naik kerana dia sudah
mula bernafas. Bentuk tubuhnya sudah mula kelihatan. Ibu jari dan jari-jari
lainnya sudah lengkap terbentuk. Begitu juga dengan kukunya. Fetus sudah mampu
menghisap ibu jarinya dan menelan cecair amniotik seterusnya menukarkannya menjadi
urin. Cecair amniotik akan diganti setiap 24 jam. Panjang fetus kini ialah 6.5
sm manakala beratnya pula 20 gm.
Tubuh anda
Berat badan anda akan bertambah
kira-kira satu perempat daripada berat badan normal di antara minggu ini hingga
minggu 20. Ketika minggu ini anda akan berasa lebih bertenaga berbanding
minggu-minggu sebelumnya. Teliti gaya hidup dan pemakanan anda dan pastikan
diet anda mengandungi himpunan makanan yang baik dan seimbang untuk anda dan
kandungan.
Minggu 13
Bayi Anda
Saiz fetus kini 7.5 sm dan beratnya
pula 30 gm. Tulangnya mula berkembang, begitu juga dengan gigi. Pada tahap ini,
fetus sentiasa menggerakkan bibirnya sebagai persediaan untuk merangsang otot
bibirnya supaya daya hisapannya dapat berfungsi dengan baik setelah dia lahir
nanti.
Tubuh anda
Perubahan saiz rahim yang kian
membesar akan membuatkan anda menyedari bahawa perasan perut anda “buncit”.
Dalam pada itu, perubahan warna puting turut berlaku. Warna bahagian tersebut
berubah menjadi lebih gelap dan urat biru pada payu dara anda mula jelas
kelihatan.
Minggu 14
Bayi Anda
Pada trimester kedua, organ-organ
bayi dalam kandungan sudah mulai matang. Dagu, dahi dan hidung kini semakin
menyerlah. Bayi anda juga berupaya untuk mengerak-gerakkan kepalanya dan ada
kalanya dia boleh mengerutkan kening. Bayi anda kini berukuran 9 sm dengan
berat sebanyak 60 gm.
Tubuh anda
Kuantiti darah yang mengalir dalam
badan semakin banyak. Dalam masa yang sama bayi juga perlukan oksigen. Oleh
yang demikian, jantung perlu bekerja kuat. Jadi, tidak hairanlah jika ketika
ini jantung anda kelihatan sedikit besar. Semua itu adalah untuk memastikannya
mampu menjalankan tugas sebaiknya. Hasil daripada pertambahan kuantiti darah
dalam badan, anda kini jadi lebih bertenaga berbanding sebelumnya. Dalam erti
kata lain, inilah waktu yang paling sesuai untuk anda dan keluarga pergi
bercuti sebelum melahirkan.
Minggu 15
Bayi Anda
Tulang rangka bayi anda sedang giat
berkembang. Kini kakinya lebih panjang daripada tangan. Rambut pada kepala juga
semakin menebal. Begitu juga dengan kening dan bulu matanya. Semua makin jelas
kelihatan. Bayi anda pada ketika ini sudah boleh mendengar. Antara yang paling
jelas didengarnya ialah suara anda selain daripada degupan jantung dan bunyi
perut anda. Bayi anda sekarang sudah sepanjang 12 sm dan beratnya kira-kira 100
gm.
Minggu 16
Bayi Anda
Bayi semakin kerap bergerak. Tubuh
mereka juga pada ketika ini mula diselaputi lanugo iaitu rerambut halus.
Tujuannya ialah untuk mengekalkan keseimbangan suhu badan. Jantina bayi anda
juga sudah boleh diketahui semasa ultrasound dilakukan. Bayi anda kini
berukuran 16 sm panjang dengan beratnya 135 gm.
Tubuh anda
Pada saat ini anda sepatutnya rasa
lebih segar, seronok dan gembira. Selera makan juga semakin bertambah. Anda
mungkin dapat merasa pergerakan pertama bayi dalam kandungan. Akan tetapi
pergerakan bayi anda tidaklah terlalu ketara. Pada masa yang sama, garis halus
berwarna gelap di bawah abdomen yang dikenali sebagai linea nigra semakin
menyerlah. Dan garis ini kembali pudar selepas anda melahirkan.
Minggu 17
Bayi Anda
Anggota badan bayi dalam kandungan
anda kini terbentuk dengan sempurna. Deria rasanya juga sudah mula dibina. Bayi
anda sekarang sudah mempunyai cap jarinya sendiri. Dan kini, dia berukuran 18
sm dengan berat sekitar 185 gm.
Tubuh anda
Pinggang ramping anda kini sudah
menghilangkan dirinya. Yang tinggal hanyalah perut yang semakin membesar di
samping kehadiran sedikit tanda rekahan pada bahagian tersebut. Selain perut,
gusi juga mengalami sedikit gangguan. Gusi berdarah ialah antara masalah yang
biasa dialami wanita hamil. Jangan risau. Pergilah bertemu doktor gigi untuk
rawatan.
Minggu 18
Bayi Anda
Kulit bayi anda ketika ini masih
lagi berkedut kerana mereka belum pun mengumpul lemak. Dia juga sangat aktif
bergerak. Bayi anda juga mula peka terhadap bunyi-bunyian daripada luar. Oleh
yang demikian, janganlah terperanjat jika tiba-tiba bayi anda menendang setelah
terdengar bunyi kuat yang tidak anda duga. Bayi anda kini berukuran kira-kira
21 sm dengan beratnya 235 gm.
Tubuh anda
Ketika ini anda sudah semakin dapat
rasa pergerakan anak. Dalam masa yang sama, ibu hamil juga mungkin mengalami
masalah untuk bernafas. Hal ini terjadi kerana semasa hamil, membran dalam
hidung akan membengkak seterusnya mengganggu peredaran udara masuk ke dalamnya.
Selain itu, lelehan faraj juga semakin bertambah. Sepanjang trimester kedua
ini, anda akan dapat mengesan beberapa perubahan sampingan yang ketara pada
tubuh selain daripada pertambahan berat badan.
Minggu 19
Bayi Anda
Sama seperti anda, janin dalam
kandungan juga semakin membesar. Ketika ini gigi susu mereka mulai terbentuk
dalam gusi. Dalam masa yang sama, tunas untuk pembentukan gigi kekal juga
muncul. Janin anda sudah menjangkau 23 sm dengan beratnya kira-kira 285 gm.
Tubuh anda
Saat ini berat badan anda semakin
bertambah. Punggung, paha dan bahagian abdomen adalah antara kawasan yang
paling ketara pertambahan beratnya. Urat-urat halus juga mula kelihatan pada
muka anda. Jangan risau, semua itu akan kembali seperti sedia kala setelah anda
melahirkan.
Minggu 20
Bayi Anda
Vernis merupakan sejenis bahan putih
berminyak mula menyelaputi kulit bayi untuk melindunginya daripada cecair
amniotik semasa berada dalam kandungan. Bayi anda kini berukuran 25.5 sm dengan
berat 340 gm.
Tubuh Anda
Rahim semakin cepat membesar dan
anda kini telah kelihatan sama seperti ibu hamil lain. Akibat pembesaran perut
yang begitu cepat, pusat hampir tidak kelihatan. Tetapi, ada sesetengah ibu
hamil pusatnya tidak menjadi rata sebaliknya tertonjol keluar. Ketika ini
masalah pedih ulu hati bukan suatu yang asing.
Minggu 21
Bayi Anda
Bayi anda kini sangat aktif. Hampir
setiap saat anda akan dapat rasa pergerakannya. Jadi, tidak hairanlah kalau
setiap malam tidur anda diganggu. Jika hal ini terjadi kepada anda, usap
perlahan perut sambil berkata-kata kepada anak. Dipercayai dengan cara iniakan
dapat menenangkan bayi. Kini, bayi sudah semakin besar dan beratnya kira-kira
390 gm dan dianggarkan 28 sm panjang.
Tubuh Anda
Pada masa ini anda berpeluang untuk
melihat perut bergelombang hasil daripada pergerakan bayi dalam kandungan. Anda
juga mungkin ada masalah untuk bernafas kerana paru-paru semakin terhimpit
akibat ditekan rusuk yang semakin mengembang. Pada masa ini anda juga kelihatan
lebih bertenaga dan mungkin inilah masa yang sesuai untuk membuat persediaan
menerima kehadiran cahaya mata.
Minggu 22
Bayi Anda
Bayi dalam kandungan anda terus
membesar akibatnya ruang untuk mereka bergerak semakin kurang. Bayi anda kini
mungkin berhubungan dengan anda melalui tendangan ataupun gerakan yang
dilakukannya. Sistem pernafasan mereka masih dalam proses pembinaan dan
paru-paru belum lagi berfungsi untuk menyalurkan oksigen ke salur darah. Bayi
anda kini berukuran 29 sm dengan berat kira-kira 410 gm.
Tubuh anda
Tulang rusuk bahagian bawah anda
mula rasa sakit akibat ditolak keluar oleh rahim yang semakin membesar. Untuk
kurangkan rasa tidak selesa, cuba duduk setegak mana yang anda mampu atau anda
boleh mengangkat tangan dengan lurus melepasi kepala. Selain itu, jika anda ada
cara lain yang lebih menyelesakan, amalkanlah kerana inilah waktu terbaik untuk
anda cuba apa sahaja cara asalkan kesakitan yang dialami tidak berlarutan.
Minggu 23
Bayi Anda
Bayi anda kini sudah semakin
sempurna pembentukannya. Jika dia lelaki, skrotumnya sudah terbentuk sempurna
dan jika dia perempuan, dalam ovarinya kini sudah pun terkandung beberapa juta
telur. Jumlah telur ini akan berkurangan ke sekitar dua juta ketika dilahirkan
dan jumlahnya semakin berkurangan apabila usia anak semakin meningkat. Bayi
anda kini berukuran kira-kira 31 sm dengan berat sebanyak 440 gm.
Tubuh anda
Anda mula dapat rasakan kehadiran
bayi dalam perut. Anda akan rasa tegang pada bahagian tersebut. Kadangkala anda
akan rasa sakit seperti mencucuk-cucuk pada bawah perut kerana otot uterine
sedang meregang. Rasa sakit ini akan hilang apabila anda berehat.
Minggu 24
Bayi Anda
Bayi anda semakin lasak bergerak.
Anda juga semakin mahir membaca pergerakannya. Degupan jantung bayi anda sudah
boleh didengar walaupun hanya menggunakan stetoskop biasa. Bayi anda juga sudah
boleh mendengar kata-kata anda dengan jelas. Kini berat bayi anda sudah
menjangkau 500 gm dengan panjangnya 33 sm.
Tubuh anda
Tubuh anda kini mula menambah
beratnya sebanyak setengah kilo seminggu. Dalam masa yang sama, kaki anda akan
mula rasa tegang akibat berat badan yang bertambah dengan banyak. Untuk
mengelakkan rasa tidak selesa, pastikan kasut yang sesuai.
Minggu 25
Bayi Anda
Sel-sel otak pada bayi terus
berkembang dan menjadi semakin kompleks. Tulang-temulang juga semakin keras.
Kini, bayi anda semakin aktif belajar bernafas, menyedut dan keluarkan kembali
cecair amniotik yang wujud di sekitar mereka. Dan ketika ini jika bayi anda
tertelan terlalu banyak cecair tersebut, dia boleh sedu. Bayi dalam kandungan
anda sekarang berukuran 34 sm dengan berat sekitar 600 gm.
Tubuh anda
Anda kini kelihatan lebih
berseri-seri. Muka semakin bercahaya. Semuanya kerana meningkatnya peredaran
darah di bawah kulit. Tekanan pada punci kencing juga adalah punca mengapa anda
sering ke tandas. Kekejangan, sakit belakang dan pedih ulu hati semakin kerap
berlaku.
Minggu 26
Bayi Anda
Walaupun bayi anda kelihatan kurus
kering, mereka sebenarnya sudah mula membentuk lemak-lemak di bawah kulit.
Lemak-lemak ini kemudiannya akan membantu mengekalkan suhu badan sehinggalah
selepas dilahirkan. Bayi anda kini sepanjang 35 sm dengan berat 700 gm.
Tubuh anda
Dengan perut yang semakin membesar,
tidur anda kini sering tidak nyenyak. Selain daripada rasa tidak selesa semasa
berbaring, anda juga semakin kerap ke bilik air. Ketika ini cara tidur yang
betul penting untuk memastikan anda berpeluang untuk berehat secukupnya. Agar
anda rasa selesa ketika berbaring, alaskan perut dan kaki dengan bantal.
Minggu 27
Bayi Anda
Bayi anda kini sudah boleh membuka
matanya. Jadi, dia kini boleh melihat cahaya luar menerusi bahagian abdomen
anda. Ketika ini juga bayi mula belajar menghisap dan mereka mungkin berupaya
menghisap ibu jari atau pun genggaman tangan. Bayi anda kini berukuran 36 sm
dengan berat lebih kurang 800 gm.
Tubuh anda
Anda semakin hari semakin besar dan
tentunya berat semakin bertambah. Antara bahagian yang paling ketara
pertambahan beratnya ialah di sekitar dada terutamanya pada bahagian payu dara.
Oleh yang demikian, pemakaian baju dalam yang sesuai sangat penting. Elakkan
berbaring secara menelentang kerana cara ini akan membuatkan anda rasa tidak selesa
dan dalam masa yang sama salur darah anda akan ditekan oleh rahim anda yang
semakin membesar.
Minggu 28
Bayi Anda
Pada usia ini, bayi sudah cukup
sifatnya dan boleh lahir pada bila-bila masa. Jika bayi lahir pada usia ini,
dia dikategorikan sebagai bayi pramatang. Jantungnya kini berdegup sebanyak 150
degupan seminit. Berat badannya kini mencecah 900 gm.
Tubuh anda
Payu dara anda mungkin sudah
mengeluarkan kolostrum iaitu sejenis cecair likat. Jika anda berasa tidak
selesa dengan pengeluaran kolostrum tersebut, cuba pakai pad pada coli bagi
mengelakkan rasa melekit. Pada usia kandungan ini, darah anda akan diuji buat
kali kedua untuk melihat tahap anemia dalam badan. Sekiranya anda didapati
anemia positif, bekalan zat besi berbentuk pil akan diberikan.
Minggu 29
Bayi Anda
Bayi semakin membesar dan memenuhi
ke seluruh ruang dalam perut. Kepalanya mula sepadan dengan badan. Kening dan
bulu mata tumbuh sepenuhnya. Bulu pada badannya terus tumbuh. Matanya, boleh
membuka dan ditutup dan mula fokus. Berat bayi kini dalam 1 kg dan ukuran badan
mencecah 38 sm.
Tubuh anda
Anda akan berasa dengan kerap
pergerakan bayi dalam kandungan. Bayi juga akan mula mengeras badan. Oleh yang
demikian, banyakkanlah berehat sama ada dengan duduk atau berbaring.
Minggu 30
Bayi Anda
Bayi kini sudah pandai menyesuaikan
keadaan mengikut keselesaan. Berat badannya kini boleh mencecah 1.1 kg dan
panjangnya lebih kurang 39 sm.
Tubuh anda
Anda akan cepat rasa letih kerana
perut semakin membesar. Jika berjalan terlalu laju anda akan cepat lelah. Jadi
adalah penting untuk anda menjaga posisi. Tidur pada waktu malam juga mungkin
akan terganggu.
Minggu 31
Bayi Anda
Fizikal bayi lengkap sepenuhnya
kecuali sebahagian kecil paru-parunya. Begitu juga pada bahagian otaknya. Otak
dikatakan masih dalam proses perkembangan tetapi semakin laju dan bayi sekarang
boleh mendapat dan memproses maklumat dengan cepat. Bayi juga mula berasa sakit
jika kedudukannya tidak betul. Dia akan bertukar posisi kepada lebih selesa.
Berat kini menjangkau 1.4 kg dan tingginya pula 40 sm.
Tubuh anda
Sesak nafas atau termengah-mengah
akan mudah berlaku sekiranya anda tidak berhenti bergerak. Jadi banyakkan
berehat. Jika waktu malam anda rasa kurang selesa untuk bernafas, pastikan
pakaian anda tidak terlalu ketat dan panas.
Minggu 32
Bayi Anda
Bayi semakin aktif bergerak. Dia
akan memusingkan badan, menendang dan membuat lebih banyak lagi aksi berbanding
sebelum ini. Walau bagaimanapun, kedudukan kepala bayi tetap berada di
permukaan serviks untuk keluar pada bila-bila masa. Berat badannya kini 1.6 kg.
Manakala ukurannya mencapai 40.5 sm.
Tubuh anda
Jika anda bekerja, mulakan cuti
sekarang. Nikmati hujung minggu kehamilan ini dengan pelbagai persediaan mental
dan fizikal.
Minggu 33
Bayi Anda
Jari jemari mulai terbentuk dengan
sempurna. Begitu juga halnya dengan paru-paru. Ketika ini, bayi mula berlatih
bernafas. Ukuran janin kini berukuran 41.5 sm dengan berat 1.8 kg.
Tubuh anda
Kenaikan berat badan kini tidak
terlalu cepat. Jika tidak pun, berat badan hanya meningkat lebih kurang 1kg
untuk setiap minggu. Anda digalakkan memeriksa tahap kesihatan dengan kerap
agar tidak berlaku sebarang masalah.
Minggu 34
Bayi Anda
Berat badannya semakin bertambah.
Matanya mula sensitif terhadap cahaya. Kening dan bulu mata kini sudah cukup
matang dan mata janin kini sudah pandai berkedip-kedip. Sekiranya janin adalah
lelaki, testisnya mula membentuk dengan sempurna. Berat badannya kini
menjangkau 2 kg, Manakala, ukuran badannya kini mencecah 43 sm.
Tubuh anda
Tekanan darah mungkin akan meningkat
agak tinggi. Jadi, jaga sedikit perasan dan emosi anda pada peringkat ini.
Minggu 35
Bayi Anda
Bayi masih lagi membesar dan
memenuhi ruang dalam perut. Bayi tidak bergerak terlalu aktif kerana ruang agak
sempit. Berat badannya kini meningkat kepada 2.3 kg dan panjangnya 44.5 sm.
Tubuh anda
Banyakkan berbincang tentang emosi
dan kesediaan anda ketika di bilik bersalin bersama pasangan atau sesiapa yang
akrab agar rasa gentar dan risau semakin hilang. Dalam masa yang sama, kawal
diet. Jangan berjalan keluar rumah kerana takut kontraksi boleh bermula pada
bila-bila. Bersiap sedia dari sekarang.
Minggu 36
Bayi Anda
Kontraksi awal boleh bermula
sekarang. Tetapi jika ia berlaku tidak terlalu kerap, itu bukan tanda ingin
bersalin. Tetapi ia hanya tanda-tanda yang kandungan anda kini semakin mencapai
tahap matang. Bayi kini mula pandai bernafas dengan betul, menghisap jari dan
belajar menelan. Berat kini 2.5 kg dan panjang 46 sm.
Tubuh anda
Bernafas kini semakin tidak selesa.
Pangkal rahim juga rasa sakit akibat tekanan yang dibuat oleh bayi dalam
kandungan. Pemeriksaan kehamilan pula akan dijalankan setiap minggu mulai
sekarang.
Minggu 37
Bayi Anda
Bulu pada badan bayi mulai
berkurangan. Bayi mula mengeluarkan hormon yang dinamakan cortisone yang
membantu mematangkan organ pernafasan. Berat kini 2.7 kg manakala panjang 47
sm.
Tubuh anda
Bersedia, mungkin anda bersalin pada
minggu ini. Periksa semua persiapan sebelum dan selepas bersalin. Jangan takut
untuk bertanya apa jua soalan berkaitan dengan proses kelahiran kepada orang
yang berpengalaman. Sikap ini membantu anda menambah lagi ilmu untuk di gunakan
ketika di bilik bersalin.
Minggu 38
Bayi Anda
Lemak mula terbina dalam badan bayi.
Kulit bayi kini sudah menjadi sedikit merah jambu. Rambut mulai memancang
sehingga mencecah ukuran 5 sm. Begitu juga dengan kukunya. Pada usia ini, bayi
anda mempunyai berat badan lebih kurang 2.9 kg dan panjangnya pula 48 sm.
Tubuh anda
Sentiasa peka dengan perubahan diri.
Patikan tanda-tanda ingin bersalin. Jika ada tanda cepat-cepat pergi ke
hospital. Jangan terlalu banyak membuat kerja-kerja rumah takut nanti tenaga
anda hilang. Kumpulkan tenaga untuk beberapa hari ini supaya tenaga yang
disimpan itu dapat digunakan sepenuhnya ketika di bilik bersalin.
Minggu 39
Bayi Anda
Kini bayi matang sepenuhnya. Berat
kini 3.1 kg dan panjang 49 sm.
Tubuh anda
Masa kini sudah tiba. Rasa sakit
kontraksi kini semakin kerap. Walaupun begitu, jangan biarkan rasa sakit itu
menghantui anda. Tenangkan fikiran dan bersiap sedia untuk ke hospital.
Minggu 40
Dia seharusnya sudah berada di dalam
dakapan anda. Doktor tidak akan menangguhkan lagi kelahirannya. Sama ada secara
semula jadi atau caesarean, kelahiran mesti dilakukan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.